Pages

Monday, March 29, 2010

1.0 Pengenalan
Kemajuan teknologi dan ilmu pengetahuan ternyata tidak mampu melenyapkan cara ubatan tradisional begitu sahaja. Dewasa ini pengubatan dengan cara-cara tradisional semakin popular baik di dalam negeri mahupun di luar negeri. Perubatan tradisional dan perubatan moden mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Perubatan tradisi dan perubatan moden mempunyai matlamat yang sama iaitu bagi menyembuhkan penyakit dan penderitaan dengan konsep dan cara yang tersendiri.
Perubatan tradisi diwarisi turun-temurun secara lisan atau amalan oleh nenek moyang kita manakala perubatan moden adalah trend rawatan pada masa kini yang telah dikaji secara saintifik oleh pakar-pakar perubatan. Menurut Siti Norazuwa Abd Aziz (2000) perubatan tradisional ialah sejenis perubatan pra-saintifik bagi sesuatu kaum. Perubatan ini berbeza daripada perubatan yang diamalkan di Barat. Perubatan jenis ini digunakan pada masa tertentu yang bertujuan untuk penjagaan kesihatan dan sesuai bagi sesuatu masyarakat tertentu.
Selain daripada itu, perubatan tradisional ditakrifkan sebagai sistem perubatan yang diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi seterusnya tanpa penulisan. Ia merupakan suatu cara rawatan tempatan bagi mengubati sebarang penyakit yang didasarkan kepada fenomena perhatian secara tidak formal. Dalam perubatan tradisi, Chen (1975) menyatakan bahawa terdapat dua faktor yang boleh menyebabkan penyakit iaitu sebab-sebab kuasa ghaib (hantu, badi, buatan orang dan sebagainya) serta sebab-sebab fizik (makanan, angin, luka, kuman dan sebagainya).


Menurut Chen (1975) lagi, kaedah perubatan tradisi berpusat kepada bahagian utama iaitu perubatan secara batin yang merangkumi jampi mantera, menurun, main puteri dan lain-lain. Contoh yang lain adalah seperti rawatan menggunakan akar-akar kayu dan kepandaian pembedahan seperti berbekam, membetulkan patah tulang, dan sebagainya.
Pada dasarnya perubatan tradisi merangkumi penggunaan sumber alam semula jadi termasuklah tumbuh-tumbuhan dan akar-akar kayu yang banyak khasiatnya yang dapat dijadikan sumber perubatan. Pelbagai tumbuhan telah digunakan untuk menyembuhkan penyakit-penyakit seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit mata, dan sebagainya. Haiwan dan mineral juga merupakan bahan utama yang digunakan dalam perubatan tradisi.
Pada zaman moden ini, masih banyak golongan masyarakat percaya kepada perubatan tradisi. Kehebatan serta kemujaraban perubatan tradisi tidak dapat dinafikan. Bukti-bukti yang nyata telah banyak dilihat serta perkara-perkara yang dianggap luar biasa adalah darah daging perubatan ini. Mungkin ada pihak tertentu yang masih menafikan kebenaran ini kerana mereka menganggap diri sendiri adalah manusia yang paling moden dan bertamadun tetapi nyata anggapan mereka ini tidak dapat diterima.
Dalam sejarah manusia di muka bumi ini, terdapat berbagai-bagai sistem perubatan seperti perubatan Yunani (Greek), perubatan China (Acupuncture), perubatan India (Ayurveda), perubatan herba, perubatan Islam, alopathy, homeopathi, oesteopathy dan perubatan tabii menurut susunan usianya. Tiap- tiap sistem perubatan berkenaan mempunyai ciri-ciri yang tertentu tetapi wujudnya persamaan dari segi konsep dan cara perubatan antara satu dengan yang lain dalam bahagian-bahagian tertentu.

2.0 Takrifan
Menurut Kamus Komprehensif Bahasa Melayu (2005, m.s:813,827) ‘perubatan’ adalah berasal daripada perkataan ubat yang membawa maksud sesuatu benda yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit atau menyihatkan badan, samada dengan cara dimakan atau disapu manakala ‘tradisional’ pula bermaksud bercorak tradisi atau dengan kata lain mesyarakat yang mengamalkan cara hidup yang turun-temurun. Perubatan tradisional banyak menggunakan bahan-bahan tempatan asli seperti tumbuh-tumbuhan, herba, bahan-bahan semulajadi dan sebagainya untuk dijadikan sebagai ubat. Pengubatan tradisional dengan istilah lainnya ialah perubatan alternatif.
3.0 Perubatan Tradisional
Perubatan cara tradisional merupakan cara perubatan lama yang telah wujud sebelum adanya cara perubatan moden. Perubatan cara ini tidak menggunakan rawatan secara saintifik malahan kadang-kadang hanya menggunakan jampi serapah untuk mengubati sesuatu jenis penyakit. Semua bangsa di dunia ini mempunyai cara perubatan tradisional masing-masing. Di Malaysia, cara perubatan tradisional mempunyai banyak jenis dan setiap kaum mempunyai caranya yang tersendiri, misalnya Melayu (bomoh atau dukun), Cina (tabib Cina, singse), Iban (manau) dan India.
Perubatan tradisional adalah penggunaan ubat-ubatan tradisional yang masih merupakan satu warisan iaitu penghayatan adalah menerusi kepada satu generasi yang berikutnya. Ia diwarisi turun-temurun dengan cara penyampaian dari mulut ke mulut seperti daripada ayah kepada anak atau daripada guru kepada murid. Perubatan tradisional kini mula mendapat pandangan yang positif daripada orang ramai memandangkan pihak media turut menyiarkan kejayaan penemuan khasiat ubat-ubatan tradisional dan rawatan yang mujarab.
Misalnya, berita seorang dukun ‘patah’ boleh memulihkan kaki atau tangan yang patah akibat kemalangan dengan pengubatan yang lebih baik daripada cara moden. Di kalangan masyarakat Cina, rawatan akupuntur dan ubat singse amat popular semenjak zaman berzaman lagi. Kemasyhuran kedua-dua jenis pengubatan ini terbukti berkesan dan mujarab bagi penyakit seperti darah tinggi, lelah, dan lumpuh. Rawatan akupuntur pula didapati dapat menggantikan ubat bius dalam proses pembedahan.
Tambahan pula, cara perubatan tradisional mempunyai kaitan dengan kehidupan harian manusia yang terus kekal diamalkan sebelum perubatan moden diperkenalkan. Oleh itu, adalah sukar bagi kita mengetahui tentang evolusi masa dan ruang pertumbuhan ilmu ubat-ubatan tradisional ini dan apa yang jelas ialah ubat-ubatan tradisional tetap menjadi panduan di dalam bidang farmasi atau ubat-ubatan.
Perubatan tradisional mempunyai matlamat yang sama dengan perubatan moden iaitu untuk menjaga kesihatan dan merawat penyakit yang dihadapi oleh manusia. Kedua-dua kaedah perubatan ini mempunyai konsep tersendiri. Pakar-pakar perubatan tradisional seperti bomoh, dukun, pawang, tabib cina dan lain-lain memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas untuk memberi rawatan masing-masing.
Begitu juga di Sarawak perubatan tradisional masih terus diamalkan oleh penduduk luar bandar terutama dari kawasan-kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pusat-pusat kesihatan moden. Berikutan itu, Sarawak berpotensi menjadi pengeluar perubatan tradisional moden memandangkan sumber biodiversiti serta hutan dara luas yang dimiliki. Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam mengatakan dengan kelebihan itu, Sarawak dapat mengurangkan pergantungan ubat-ubatan yang diimport. (Utusan Malaysia, 2009)
Di samping itu, bahan-bahan untuk membuat ubat tradisional terdiri daripada akar kayu, buah-buahan, daun, kayu dan haiwan yang tidak mengandungi bahan kimia. Contohnya, minyak bijan dan daun sirih untuk mengubat sakit kepala. Bagaimanapun, pengubatan tradisional banyak menggunakan ilmu batin berdasarkan kepercayaan sesuatu kaum. Sungguhpun begitu, ada para bomoh dan ‘mahagumi’ yang menggunakan alat teknologi moden dalam mengesan sesuatu penyakit sebelum diubati.
Misalnya ada klinik perubatan tradisional di Kota Kinabalu yang menggunakan sinar –X bagi mengesan jenis penyakit. Namun tempoh untuk mengubati penyakit pula berbeza-beza iaitu bergantung kepada jenis penyakit. Bagi penyakit yang serius masa yang diambil mungkin lebih dari sebulan sementara penyakit ringan memerlukan dua atau tiga hari sahaja.
Lazimnya kos perubatan tradisional berkenaan adalah mengikut kemampuan seseorang itu. Bagaimanapun, bayaran yang dikenakan ialah di antara RM10 hingga RM15. Bagi penyakit yang serius dan mengambil masa yang lama, pesakit dikenakan bayaran maksimum lebih kurang seratus ringgit. Selain itu, bomoh atau dukun sanggup mengunjungi rumah pesakit yang tidak berupaya atau tenat. Ini merupakan satu keistimewaan yang agak sukar kita dapati daripada klinik moden.
Perubatan tradisional amat penting untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan ilmu ‘guna’ seperti santau yang sukar disembuhkan dengan perubatan moden. Maka tidak hairanlah masyarakat sekarang masih mencampurkan perubatan moden dengan tradisional apabila seseorang itu mengalami penyakit yang teruk atau ganjil. Begitu juga dengan penggunaan ilmu-ilmu batin yang masih diamalkan untuk menyembuhkan penyakit. Misalnya di daerah Serian, Sarawak kemungkinan besar yang amalan ini masih dipraktikan oleh suku kaum Bidayuh. Mereka ini tinggal di kawasan pergunungan yang jauh terpencil.
Walaubagaimanapun, ada yang beranggapan perubatan tradisional adalah kurang maju dan kolot berbanding dengan perubatan moden. Pendapat demikian memang berat sebelah walaupun perkembangan perubatan moden memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan taraf kesihatan rakyat amnya. Meskipun begitu, perubatan tradisional masih diamalkan dan taraf perubatannya semakin meningkat setanding dengan perubatan moden. Ini dapat dilihat daripada penerimaan masyarakat moden terhadap perubatan tradisional sebagai jalan akhir mengubati penyakit tertentu yang gagal diubati secara moden.
4.0 Jenis-Jenis Perubatan Tradisional
4.1 Perubatan Melayu
Golongan Melayu juga mempunyai gelaran doktor tersendiri seperti pawang, bomoh, dukun dan bidan. Jenis-jenis pengeras yang digunakan untuk menjalankan upacara menjampi seperti akar-akar pokok, ranting-ranting, daun-daun dan tumbuhan. Bomoh dalam masyarakat Malaysia bukan sekadar seorang tukang ubat. Secara tidak langsung, bomoh tetap menjadi ‘pakar rujuk’ kepada semua lapisan rakyat di Malaysia. Bagi masyarakat di kampung, bomoh dicari jika mereka mempunyai masalah kesihatan berbeza dengan anggota kelas menengah di bandar, bomoh penting sebagai pembekal tangkal untuk mereka menghadapi pencabaran hidup kota yang menekan.
Ubat-ubatan yang digunakan oleh bomoh kebanyakannya diperbuat daripada bahagian tumbuhan seperti daun, pelbagai jenis akar kayu, bunga-bunga, batu kawi, tulang dan bahan-bahan makanan seperti bawang putih, bawang merah, halia, lada hitam dan sebagainya. Ubat-ubatan ini akan ditukar sekiranya penyakit yang diubati tidak juga sembuh. Di samping itu, sirih pinang tidaklah ketinggalan. Bomoh tidak menggunakan sebarang tumbuhan di dalam hutan tetapi mengenal pasti kemujaraban tumbuhan tersebut sebelum mengubati pesakit.
Keaslian ubat-ubatan tradisional terjamin kerana hanya tumbuh-tumbuhan digunakan sebagai ubat dan ia tidak mendatangkan kesan sampingan kepada pesakit. Bomoh telah mengaku kemampuan mereka untuk mengubati berjenis-jenis penyakit seperti demam, barah, campak, kudis-kudis, naik angin, buatan orang, ubat pengasih dan lain-lain. Kebanyakkan penyakit sembuh apabila dirawati bomoh dan oleh sebab itu ramailah orang yang percaya kepada kemampuan mereka.
Selain daripada bahan-bahan ubat, mereka menggunakan doa, jampi atau serapah bagi menghalau penyakit atau hantu yang kononnya membawa penyakit itu. Ubat-ubat itu digunakan untuk disapukan pada badan atau kepala si sakit, dilumur pada dada atau dahi, diminum atau dicampur dengan air mandi. Sesetengah bomoh menggunakan doa yang bercampur aduk dengan ayat-ayat suci al-Quran.
Semenjak Akta Bidan 1986 (Pindaan 1990) diluluskan, peranan bidan kampung didapati semakin berkurangan dan mungkin lenyap sekiranya tiada sebarang langkah diambil untuk menghidupkannya. Di bawah akta ini semua bidan kampung tradisional perlu mendaftarkan diri untuk diberi latihan dan kawalan yang lebih baik, tetapi peranannya tetap juga terbatas dan mereka tidak digalakkan dalam menyambut kelahiran bayi. Pada tahun 1988, tidak kurang daripada 2,481 orang bidan kampung yang mendaftar dengan kerajaan dan ramai lagi yang belum mendaftar (Utusan Pengguna, 1989).
Hal ini sememangnya diakui oleh bidan kampung sendiri, tetapi dengan berbekalkan kemahiran dan kesabaran menyambut kelahiran bayi, proses bersalin itu sejak beberapa generasi lalu biasanya berjalan dengan selamat. Begitu juga mereka dituduh tidak pandai menjaga kebersihan, tiada latihan yang lengkap, terlalu tua dan mempunyai banyak pantang larang.
Berdasarkan fakta-fakta inilah peranan bidan kampung semakin hari semakin pupus, malah mungkin generasi akan datang tidak akan dapat lagi mengenali atau mendengar perkataan "bidan kampung". Tidak hairanlah jika generasi akan datang tertanya-tanya bagaimana seseorang ibu boleh melahirkan anak di rumah tanpa bantuan doktor dan alat perubatan moden.
Sebagai manusia biasa, bidan-bidan kampung juga mempunyai perasaan dan pandangannya sendiri terhadap kaedah bersalin di hospital. Apatah lagi setelah menerima pelbagai tuduhan dan sekatan yang dikenakan secara tidak langsung terhadap ilmu perbidanan yang mereka warisi daripada ibu atau nenek moyang masing-masing.
Berdasarkan pengalaman beberapa orang ibu yang bersalin di hospital dan juga apa yang didengar oleh bidan-bidan kampung sendiri, kaedah bersalin di hospital turut menimbulkan kebimbangan dan ketidakpuasan hati di kalangan ibu-ibu yang bakal melahirkan anak, terutamanya anak pertama. Pihak hospital selalu menggunakan gunting di mana menurut bidan kampung cara itu tidak baik untuk ibu-ibu bersalin.
Pembedahan akan dilakukan jika timbul kesulitan ketika bersalin. Suami pula tidak dibenarkan memberi pertolongan kepada isteri ketika bersalin. Ibu yang di dalam kesakitan untuk bersalin juga sering tidak mendapat simpati daripada kakitangan hospital yang bertugas. Pada keseluruhannya, kaedah yang digunakan di hospital seolah-olah mendesak atau memaksa ibu yang hendak bersalin itu melahirkan anaknya dengan cepat.


Ini mungkin disebabkan bilangan ibu yang akan bersalin di hospital lebih ramai berbanding dengan ibu yang bersalin di rumah. Kaedah bersalin di hospital itu jauh berbezanya dengan kaedah tradisional yang digunakan oleh bidan-bidan kampung. Bidan-bidan kampung nampaknya lebih sabar di dalam menjalankan tugas, sungguhpun terdapat kes ibu yang terpaksa mengambil masa berhari-hari untuk bersalin.
4.2 Perubatan Cina
Dalam perubatan tradisonal, jenis gelaran bagi doktor tradisional berlainan. Bagi masyarakat Cina, doktor tradisional digelar ‘Fashe’, ‘Dai Fu’, ‘Tabib Cina’ dan ‘Singse’. Di samping itu, pengeras yang digunakan untuk menjalankan upacara menjampi ialah kayu gaharu, wang kertas palsu dan pedang ‘Mao Shan Tien’. Perubatan Cina semakin meluas dan ramai orang yang serasi dengan ubatan penyembuhannya.
Ini dapat dibuktikan apabila Malaysia menerima bantuan dari negara China untuk memajukan perubatan tradisional cina di negara kita. Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kerajaan akan mengadakan kerjasama rapat dengan China dalam membangunkan perubatan tambahan tradisional cinanya. (Utusan Malaysia, 2009)
Bagaimanapun, sikap kerajaan yang ‘lepas tangan’ bermakna tiada peraturan yang mengawalnya. Adalah sukar bagi seseorang pengguna untuk menentukan siapakah yang betul-betul berkelayakan dalam bidang ini dan siapa tidak. Ubat-ubat yang diberi tidak mempunyai label dan tarikh luput penggunaan. Berjuta-juta rakyat Malaysia mengamalkan perubatan tradisional ini. Ramai rakyat Malaysia keturunan Cina lebih gemar mendapat rawatan secara tradisi daripada singse (doktor tradisional) apabila mereka jatuh sakit.

Ramai pula yang kembali mengguna kaedah ini sebagai usaha terakhir apabila rawatan moden gagal untuk menyembuhkan penyakit mereka. Mereka yang memilih cara rawatan ini mengesahkan tentang keberkesanannya, sementara bekas-bekas pesakit dan singse mendakwa bahawa terdapat beberapa jenis penyakit yang dianggap tidak dapat disembuhkan dengan cara rawatan moden yang sebenarnya boleh disembuhkan sepenuhnya dengan campuran herba dan bahan-bahan yang diambil daripada binatang.
Selain itu, terdapat juga beberapa jenis penyakit yang tidak berkesan dengan rawatan moden boleh disembuhkan dengan menggunakan ubatan Cina. Sebagai contoh, ubatan moden boleh mengawal gejala-gejala penyakit asma atau lelah tetapi ubatan Cina boleh menghapuskannya sama sekali. Di samping itu, penyakit reumatik boleh disembuhkan dengan kaedah akupuntur atau mengambil campuran herba yang selalunya berjaya diubati oleh singse termasuklah gastrik, migran dan batu karang di buah pinggang.
Rawatan akupuntur juga boleh merendahkan paras kolesterol di dalam aliran darah dan boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. Selain itu, akupuntur juga boleh mengurangkan kesakitan sewaktu pembedahan. Kejayaan rawatan tradisi Cina ini mungkin disebabkan ia bukan merupakan satu cara penyembuhan sahaja tetapi gabungan peraturan dalam bentuk pemakanan dan perubahan corak hidup yang mengubah seluruh kedudukan badan.
Ubat herba Cina mestilah diamalkan bersama-sama dengan corak pemakanan yang khusus. Begitu juga, seseorang pesakit jangan menjangka akan segera sembuh selepas mengambil ubat ini dan perlu berikan masa kepadanya untuk bertindak secara perlahan-lahan. Alasan utama kenapa ubat tradisional begitu berkesan ialah kerana prinsip ‘ying’ (negatif) dan ‘yang’ (positif) ataupun mengimbangkan semula badan yang merupakan asas segala rawatan.
Mereka percaya sekiranya kedua-dua kuasa ini tidak seimbang maka ia akan menimbulkan penyakit. Begitu juga, dalam setiap rawatan empat perkara perlu dipertimbangkan sama ada penyakit itu panas, sejuk, lemah atau kuat. Ubat yang diberi adalah menurut diagnosa yang dibuat.
Amalan ubatan tradisi Cina mendapat kebenaran di bawah Akta Perubatan yang memberi kelulusan kepada sesiapa untuk mengamalkan sistem terapeutik atau pembedahan mengikut kaedah asli keturunan Melayu, Cina dan India dan boleh mendapat bayaran berdasarkan kaedah yang diberikan.
Pindaan kepada Akta Ubatan 1986 (Pengiklanan dan Jualan) telah mewajibkan pendaftaran semua ubat yang mengandungi racun. Ini termasuklah ubatan Cina dan secara tidak langsung merupakan kawalan ke atas singse. Bagaimanapun pemeriksaan dengan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa pendaftaran ubatan tradisi Cina masih belum dibuat. Di samping itu, undang-undang tidak mewajibkan ubatan tradisional mempunyai label dan disertai dengan kandungan bahan-bahan yang digunakan.
Ramai pengamal ubatan Cina tidak mematuhi peraturan melabelkan bahan-bahan kandungan yang digunakan. Mereka mendakwa bahan-bahan di dalam ubatan herba begitu kompleks hingga sukar untuk dinyatakan bahan-bahan campurannya melalui label.
Walaubagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan telah mengatakan bahawa semua pengamal perubatan tradisional perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang bakal dibentuk tidak lama lagi sebelum mereka boleh mengamalkan kaedah perubatan itu. Di bawah undang-undang ini, mereka yang berdaftar dengan majlis itu akan diberi sijil pendaftaran sebagai bukti kelayakan sebelum boleh mengamalkan kaedah perubatan tradisional. (Utusan Malaysia, 2010)
Selain daripada itu, rumah urut juga popular di kalangan masyarakat kita. Biasanya orang yang mengunjungi rumah urut dipandang serong oleh masyarakat. Ini tidak dapat dielakkan kerana perkhidmatan rumah urut sering kali dikaitkan dengan kegiatan maksiat. Namun kita sebagai masyarakat yang berilmu harus bijak membuat keputusan untuk memilih pusat rawatan yang betul dan dan sah di sisi undang-undang.
Tukang urut di situ diajar kemahiran mengurut berdasarkan teknik mengurut tradisional Cina serta Jepun yang dikenali sebagai ‘Shiatsu dan Swiss’ atau ketiga-tiga kaedah sekaligus. Teknik rawatan tradisional yang diamalkan di institut itu ialah mangurut dan mengawal pemakanan manakala rawatan moden pula membabitkan penggunaan mesin ‘Modulated Nid-fre-quency Electrotherapy’ (akupuntur tanpa jarum) dan khidmat kaunseling yang teratur. Mengurut cara tradisional Cina menggerakkan semula tenaga dalaman badan bagi memastikan pengaliran darah sempurna dan menguatkan sistem ketahanan badan.
4.3 Perubatan Iban
Manang merupakan gelaran doktor tradisional bagi orang-orang Iban. Orang-orang Iban menggunakan darah ayam sebagai pengeras yang digunakan untuk menjalankan upacara menjampi. Orang Melanau yang menggunakan buai atau ayun dan juga menggunakan patung-patung kayu buat mengganti roh si sakit bukanlah sesuatu yang asing bagi orang Melayu zaman dahulu. Begitu juga apabila orang Bidayuh menghalau makhluk-makhluk jahat dengan menggunakan perahu kecil samalah seperti orang Melayu membuang ancak atau melayarkan lancang untuk menghilangkan penyakit.


5.0 Peranan Perubatan Tradisional Dalam Masyarakat Tempatan
Sejarah dunia sebenarnya telah bermula serentak dengan kewujudan manusia yang hidup berjuta-juta tahun yang lampau. Hal ini dapat dipastikan dengan penemuan bahan sejarah yang menunjukkan bahawa manusia purba telah mengetahui ilmu perubatan. Namun demikian, kita tidak dapat mengatakan bahawa ilmu perubatan masa lampau sama dengan yang ada kini.
Terdapat banyak perbezaannya iaitu hal yang paling penting untuk diperkatakan ialah peranannya di dalam masyarakat tempatan. Mungkin ada pihak-pihak yang mengatakan apabila disebut sahaja perubatan, seringkali dihubung-kait dengan pesakit. Hakikatnya, tidak cuma setakat itu. Dunia perubatan tradisional menyelam jauh ke dasar kehidupan manusia, masyarakat tempatan khasnya, berbanding dengan dunia perubatan moden.
Sebelum membicarakan peranan-peranan perubatan tradisional di dalam masyarakat tempatan ini, kita hendaklah tahu sedikit sebanyak tentang alat-alat serta orang yang bertanggungjawab di dalam hal ini. Pakar perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu digelar bomoh, dukun atau pawang sementara dalam masyarakat Iban mereka digelar ‘beliau’ atau ‘menang’. Di samping itu, tokoh seperti bidan juga turut memainkan peranan yang agak ketara di dalam masyarakat tempatan.
Satu hal yang amat ketara berbeza dengan dunia perubatan moden adalah bahan yang digunakan serta cara mengubati penyakit. Bagi masyarakat Melayu dan Melanau, bahan-bahan seperti kemenyan, keris tua, buah limau, bunga-bunga dan lain-lain kerap digunakan, di samping jampi serapah yang tidak pernah ditinggalkan.Peranan utama perubatan tradisional adalah untuk menyembuhkan penyakit.
Hal ini tidak dapat dinafikan meskipun ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa kesihatan merupakan soal ringan bagi masyarakat primitif. Di dalam hal untuk menyembuhkan penyakit selalunya terdapat persamaan di kalangan kaum-kaum yang mengamalkannya. Masyarakat Melayu dan Iban umpamanya, terdapat orang atau pakar yang bertanggungjawab. Perlakuan mereka turut menunjukkan persamaan.
Jikalau di dalam masyarakat Melayu terdapat unsur-unsur pemujaan kuasa-kuasa halus atau roh iaitu terdapat di dalam masyarakat Melayu kuno, maka di dalam masyarakat Iban turut terdapat pemujaan. Jikalau masyarakat Melanau mempercayai bahawa (gendang) mempunyai fungsi yang tidak dapat diketepikan di dalam menyembuhkan penyakit, demikian juga dengan masyarakat-masyarakat lain.
Oleh itu, dapat dikatakan masyarakat tempatan yang mengamalkan perubatan tradisional ini, mempunyai anggapan yang hampir sama tentang fungsi bahan-bahan dan jampi serapah tadi. Seandainya kita meneliti dengan lebih mendalam lagi tentang peranan bahan-bahan atau perlakuan "pakar-pakar" tadi, kita tidak dapat melihat bagaimana ia dapat mengubati penyakit, tetapi masyarakat tradisional amat mempercayainya, malah mereka berpegang teguh kepada amalan-amalan itu.
Di samping berfungsi sebagai menyembuhkan penyakit, perubatan tradisional juga mempunyai fungsi yang lain iaitu untuk menghindari seseorang daripada mendapat kecelakaan atau penyakit. Hal ini mempunyai kaitan dengan kepercayaan masyarakat tempatan terhadap kuasa-kuasa atau makhluk-makhluk halus. Dalam masyarakat Iban, hal ini disebut ‘bersudik’.

Hal ini terjadi kerana masyarakat tempatan amat mempercayai sesuatu penyakit atau perkara-perkara buruk yang terjadi adalah disebabkan oleh kuasa-kuasa halus. Masyarakat primitif juga mempercayai seandainya makhluk-makhluk itu tidak "dihormati", maka mereka boleh mendatangkan bala. Oleh sebab itulah hal seperti bersudik dan Pesta Petani dilakukan.
Jadi, selain mengubati penyakit, pakar-pakar seperti bomoh atau Manang dapat menghalau penyakit tertentu daripada menyerang seseorang. Selain itu, upacara Pesta Petani yang dilakukan oleh masyarakat Melanau bertujuan untuk memohon rezeki yang banyak. Maksudnya Pesta Petani dipraktik untuk memohon kepada "penjaga pantai" supaya membenarkan nelayan-nelayan mendapat tangkapan ikan dengan banyak.
Di samping itu, tokoh seperti bidan turut mempunyai sumbangan dalam perubatan tradisional. Selalunya bidan-bidan melakukan pekerjaan mereka di kawasan-kawasan yang jauh terpencil atau di luar bandar yang tidak mempunyai perkhidmatan bidan kerajaan. Walau bagaimanapun, peranan bidan tradisional lebih dipercayai oleh masyarakat tempatan berbanding dengan peranan bidan-bidan kerajaan yang terdapat sekarang. Ini kerana bidan-bidan tradisional bukan setakat untuk memastikan bayi itu selamat dilahirkan, tetapi juga memastikan agar tidak ada makhluk-makhluk jahat yang mengiringnya semasa lahir.
Masyarakat tempatan turut mempercayai pakar-pakar perubatan tradisional bukan setakat dapat menjamin kesihatan mereka, tetapi juga berfungsi sebagai pakar-pakar di dalam hal-hal kecantikan dan kecerdasan. Sebab itulah kita sering mendengar perkara-perkara seperti susuk, mandi berlimau, akar-akar kayu yang boleh memberi kecerdasan otak dan lain-lain lagi.

Tentang hal-hal kecantikan misalnya, disebabkan tidak terdapat alat-alat solek, maka mereka menggunakan susuk, atau menggunakan bahan-bahan yang diperbuat daripada bunga-bunga atau akar-akar kayu untuk mencantikkan diri. Hal ini masih kekal dilakukan oleh kebanyakan wanita sehingga sekarang.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan adakah bahan tersebut benar-benar dapat mendatangkan kebaikan. Cuma perkara yang ketara ialah masyarakat tempatan amat mempercayai hal ini. Bagaimanapun, kita tidak dapat menafikan terdapatnya tumbuh-tumbuhan yang dapat menyihatkan tubuh badan kerana dari kajian pakar-pakar hari ini telah terbukti khasiatnya contohnya ulam-ulaman.
Jadi bolehlah dikatakan bahawa ubat-ubatan tradisional dapat menjamin kecerdasan mental dan kekuatan fizikal manusia. Berbanding dengan perubatan moden (meskipun terdapat kebaikannya) perubatan tradisional amat dipercayai oleh masyarakat tempatan. Walau bagaimanapun, di dalam masyarakat Melayu, apabila datangnya Islam, sedikit sebanyak peranan perubatan tradisional berkurangan. Masyarakat primitif lebih mempercayai kuasa-kuasa halus dan sesetengahnya mempercayai kuasa-kuasa syaitan, dan hal ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang lebih mempercayai kekuasaan Allah.
Jadi, kita dapat melihat di dalam masyarakat Melayu walaupun perubatan tradisional masih diamalkan tetapi bilangannya berkurangan serta hanya dijadikan sebagai pilihan kedua selepas perubatan secara moden. Peranan-peranan yang telah dijelaskan tadi, dapat dikatakan kepercayaan masyarakat tempatan terhadap perubatan tradisional amat menebal. Hal ini amat ketara hingga ke hari ini terutama sekali jika kita meninjau kepada mereka yang tinggal jauh di pendalaman.
Seandainya kita melihat masih ada yang mengamalkan corak perubatan tradisional di tengah-tengah arus permodenan, ia tidaklah mempunyai persamaan fungsi seperti apa yang dilakukan oleh masyarakat primitif dahulu. Jika dahulu, kita melihat perubatan tradisional ini menjadi amalan yang dipegang teguh, tetapi hari ini ia menjadi satu amalan yang bertujuan komersial. Inilah peranan perubatan tradisional yang dapat dilihat pada hari ini, yang lebih banyak bertujuan untuk mendapatkan wang ataupun untuk dijadikan sumber rezeki.
Sebaliknya pada masa lampau perubatan tradisional semata-mata untuk mengubati seseorang atau membantu orang-orang sekeliling. Contoh yang dapat diambil untuk melihat hal ini adalah penjual-penjual ubat di kaki lima atau bomoh atau pawang yang menuntut upah apabila memberikan perkhidmatan. Terdapat beberapa sebab hal ini terjadi. Pertama mungkin disebabkan oleh bahan-bahan perubatan yang sukar dicari, seperti akar-akar kayu yang hanya terdapat di hutan.
Sebagai ganjaran mencarinya, maka bayaran dikenakan. Selain itu, mungkin juga disebabkan oleh keperluan hidup hari ini yang memerlukan wang di dalam semua urusan. Jadi, hari ini kita mendapati perubatan tradisional yang dijalankan hanya untuk mendapatkan wang. Malah sesetengahnya tidak mempunyai fungsi apa-apa di dalam menyembuhkan penyakit, malah ada yang boleh membahayakan kesihatan.
Jadi dapat dikatakan bahawa peranan perubatan tradisional telah berubah mengikut perubahan zaman. Pada hari ini, dapat dikatakan ianya sebagai satu warisan budaya yang tinggal seperti abu di atas tunggul. Bukan mudah untuk mencari orang yang benar-benar pakar di dalam perubatan tradisional pada hari ini. Walaupun di sesetengah tempat masyarakat kita masih mengamalkannya tetapi bilangannya amatlah sedikit.
Di samping itu, unsur-unsur moden seperti bahan-bahan yang digunakan telah bercampur aduk dengan bahan-bahan aslinya. Di sesetengah tempat, kepercayaan terhadap adat yang telah ditelan oleh kepercayaan agama dan arus zaman, perubatan tradisional hanya tinggal sebagai bahan cerita yang tidak diamalkan lagi.
6.0 Potensi Ubat-Ubat Tradisional
Di merata dunia usaha-usaha sedang diperbaharui untuk mengkaji ubat-ubat tradisional dengan lebih saintifik. Dengan tertubuhnya beberapa pusat penyelidikan di negara ini, peluang untuk mengintensifkan penyelidikan ke atas ubat-ubat tradisional akan menjadi jadi lebih cerah. Ini juga mengurangkan pergantungan ke atas kepakaran dari negara luar.
Penemuan-penemuan terbaru dalam dunia perubatan dan kesan ubat tradisional yang menakjubkan memberikan insentif kepada pembangunan industri tersebut. Ada sesetengah jenama ubat tradisional di dalam pasaran sekarang yang dipercayai boleh meninggikan kecerdasan otak, membantu awet muda, mencegah kolesterol dan darah tinggi serta berbagai ciri perubatan lain.
Berhadapan dengan prospek ekonomi ini, gesaan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar berhubung dengan kepentingan program pemeliharaan atau pemuliharaan biodiversiti perlu diambil perkiraan lebih serius. Program pemeliharaan atau pemuliharaan tumbuhan ubat-ubat tradisional perlulah mendapat fokus yang lebih tertumpu memandangkan nilai ekonomi dan perubatan yang tidak terhingga.



7.0 Kebaikan dan Keburukan Perubatan Tradisional
Masyarakat melayu di negara ini telah lama meyakini perubatan dan rawatan tradisional. Ini dapat di buktikan dengan banyaknya produk-produk ubatan tradisional Melayu dipasarkan serta mendapat sambutan meluas di seluruh negara. Mereka percaya bahawa perubatan dan rawatan tradisonal Melayu merupakan kaedah paling selamat dan tidak memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan manusia.
Perubatan dan rawatan tradisional Melayu banyak menggunakan bahan-bahan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan yang boleh di perolehi di sekeliling tempat kediaman dan hutan belantara atau di kawasan pendalaman. Satu lagi faktor perubatan dan rawatan tradisional Melayu mendapat tempat di kalangan masyarakat ialah kerana ianya lebih murah berbanding dengan rawatan dan perubatan lain.
Pengalaman perubatan tradisional dipelopori oleh orang-orang yang disegani dikalangan masyarakat berkenaan dan perhatian yang diberikan adalah lebih meluas . Bagi negara-negara membangun kos mengimport dadah sintetik adalah tinggi berbanding dengan perubatan tradisional yang mempunyai fungsi yang sama dan jauh lebih murah.
Di kawasan yang mempunyai perkhidmatan doktor, masih ramai penduduknya memilih untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan tradisional. Ini disebabkan pesakit merasa bosan menunggu giliran menemui doktor, peraturan-peraturan hospital dan juga masalah komunikasi di antara pesakit dan doktor. Bagi negara-negara membangun faktor utama yang membawa kepada penggunaan ubatan tradisional adalah akibat kekurangan pusat rawatan dan tenaga terlatih.

Ubatan tradisional adalah terhasil daripada hasilan semula jadi dan ianya akan lebih mudah untuk diterima oleh sistem tubuh kita berbanding dengan dadah sintetik. Kepekatan bahan aktif dalam tumbuhan adalah rendah dan menjadi semakin cair apabila persediaan ubatan dibuat dan kepekatan yang rendah ini boleh diterima oleh badan tanpa sebarang kesan ketoksikan kecuali bagi beberapa jenis tumbuhan yang mempunyai toksik..
Terdapat juga beberapa keburukan dalam perubatan tradisional yang patut diberi perhatian kerana terdapat banyak kematian akibat penyalahgunaan atau penggunaan yang silap terhadap tumbuhan akibat kurangnya pengetahuan tentang kandungan bahan aktif dalam tumbuhan berkenaan. Kesangsian utama dalam penggunaan ubatan tradisional adalah disebabkan tidak ada bukti saintifik. Kebanyakkan dakwaan yang dibuat terhadap khasiat tumbuhan tertentu adalah dari pengamal perubatan tradisional dan belum di kaji secara mendalam dan sistematik .
Begitu juga rawatan yang disyorkan adalah tidak jelas. Sebagai contoh seorang pesakit mengadu sakit perut , maka ia akan diberikan ubat sakit perut tanpa mengambil kira ganguan dalam perut mungkin disebabkan oleh gejala lain seperti ulser atau barah. Dalam hal ini yang dirawat adalah simptom penyakit dan bukannya penyakit itu sendiri dan ini boleh menyebabkan berbagai-bagai kerumitan lain.
Di samping itu juga, maklumat mengenai dos yang patut diambil adalah juga tidak jelas dan dos yang berlebihan boleh menyebabkan kesan ketoksikan kepada penggunanya. Begitu juga juga dengan alat-alat yang digunakan semasa penyediaan ramuan ubat mungkin tidak disterilkan dan ada kemungkinan bakteria atau virus pada perlalatan tersebut mungkin menimbulkan gejala yang lain.

8.0 Kesimpulan
Pada zaman yang moden ini terdapat pelbagai cara perubatan yang lebih efektif. Para pesakit mempunyai alternatif untuk memilih jalan yang terbaik untuk langkah perubatan. Pembayaran yang dikenakan juga sejajar dengan khidmat perubatan yang diterima. Namun begitu masih ramai lagi masyarakat kita yang tidak lupa dengan cara perubatan tradisional. Oleh itu kita harus ingat bahawa perubatan moden yang kita terima abad ini adalah hasil daripada penyelidikan ubat-ubatan dari tumbuhan dan pengalaman orang-orang tua kita kerana mereka yang lebih arif tentang khasiat tumbuhan dalam seharian.
Terdapat trend di seluruh dunia untuk memperakui kepentingan ubat-ubat tradisional di samping perubatan lain seperti akupuntur, rawatan homeopati, ubat herba dan lain-lain. Malaysia yang mengimport ubat-ubat dan produk farmasi bernilai berjuta-juta ringgit setiap tahun sebenarnya mempunyai banyak aset ubat-ubat tradisional yang boleh dimodenkan bagi mengurangkan pergantungan kepada import ubat-ubat dari luar negeri.
Bagaimanapun, masih ada pengusaha kecil dan sederhana di kalangan penduduk tempatan tampil meneroka, mencari peluang dan kepakaran dalam industri ubat-ubat tradisional di samping mengekalkan warisan budaya perubatan tradisional tempatan. Perubatan secara tradisional mempunyai matlamat yang sama dengan perubatan moden iaitu menghapuskan kesakitan dan penderitaan dengan cara tersendiri.
Dunia kian ditenggelami arus kemajuan, era moden menguasai suasana. Perubatan moden juga semakin popoular di kalangan masyarakat kita. Walau bagaimanapun masih ada segelintir masyarakat yang masih mengamalkan perubatan tradisi setelah perubatan moden yang dicuba gagal. Ini menunjukkan ada penyakit yang hanya berjaya disembahkan melalui perubatan tradisional berbanding perubatan moden.
Dalam dunia global hari ini yang sering berubah, sudah nampak beberapa negara yang seolah-olah ingin kembali kepada sistem perubatan tradisional. Ini kerana konsep perubatan moden yang kerap menemui kegagalan apabila khidmatnya untuk merawat pesakit sering mengalami masalah. Telah ramai saintis moden yang menyedari bahawa rawatan secara tradisi menggunakan kaedah alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, serangga, dan hidupan kecil mampu menjadikannya penawar dan pesakit dapat hidup lebih lama.
Kebanyakan negara telah kembali kepada sistem perubatan tradisional kerana konsep dan amalan yang wujud dalam rawatan tradisional tidak menyusahkan dan tidak menakutan pesakit. Malah orang ramai menerimanya sebagai rawatan yang terbaik sama ada boleh dilakukan sendiri dengan nasihat, tunjuk ajar atau dengan bantuan pengamalnya.
Dalam konteks ini, sudah tiba masanya sistem perubatan tradisional di negara kita diberikan laluan sepenuhnya tanpa mendapat kekangan dan halangan dari memberikan khidmat yang terbaik dan terus berkembang supaya tidak ditinggalkan zaman. Biarlah masyarakat umum yang membuat pilihan dan menilai sendiri, sistem perubatan mana yang dianggap terbaik yang dianggap ‘mesra kesihatan’ atau menakutkan malah membebankan mereka dalam urusan perbelanjaan rawatan.








9.0 Bibliografi
Arbak Othman dan Nik Safiah Karim (2005). Kamus Komprehensif Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.
Azizan Abdullah. Penggunaan tumbuhan dalam perubatan tradisional. Diperoleh pada Februari 10, 2010 daripada http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/azizan.htm
China bantu Malaysia majukan perubatan tradisional Cina. (2009, November 24) Utusan Malaysia, 7.
John L.Vancat (1970). Introduction traditional medicine. London: Pretice Hall.
Mohd Kashfi Bin Mohd Jailani. Tumbuhan dan pengubatan tradisional. Diperoleh pada Februari 10, 2010 daripada http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s2_99/a58700.htm
Pengamal perubatan tradisional perlu berdaftar dengan Majlis. (2010, Januari 1) Utusan Malaysia, 11.

Perubatan tradisional dan moden (2004). Diperoleh pada Februari 15, 2010 daripada
http://www.yadim.com.my/Kesihatan/KesihatanFull.asp?Id=123
Sarawak bakal pengeluar ubat tradisional moden. (2009, Oktober 17)Utusan Malaysia
Siti Norazuwa bt Abd. Aziz. Perubatan tradisional. Diperoleh pada Februari 10, 2010
daripada http://Pkukmweb.Ukm.My/~Ahmad/Tugasan/S2_99/A58719.Htm

No comments:

Post a Comment