Pages

Monday, March 29, 2010

1.0 Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara berpendapatan sederhana, berubah daripada sebuah negara pengeluar bahan mentah seperti getah, bijih timah dan sebagainya pada 1971 kepada negara berekonomi pelbagai sektor melalui Dasar Ekonomi Baru. Pada dasarnya, pertumbuhan Malaysia adalah bergantung kepada eksport bahan elektronik seperti cip komputer dan sebagainya. Akibatnya, Malaysia merasai tekanan hebat semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dan kemerosotan dalam sektor teknologi maklumat pada tahun 2001. Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2001 hanya meningkat sebanyak 0.3% disebabkan pengurangan 11% dalam bilangan eksport tetapi pakej perangsang fiskal yang besar telah mengurangkan kesan gawat tersebut. Malaysia mempunyai persekitaran makro ekonomi yang stabil (di mana kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal di bawah 3%), simpanan pertukaran wang asing yang sihat, dan hutang luar yang kecil. Ini membolehkan Malaysia untuk tidak lagi mengalami krisis yang sama seperti Krisis Kewangan Asia pada 1997. Walaubagaimanapun, prospek jangka masa panjang kelihatan agak kabur, ini disebabkan kurangnya perubahan dalam sektor korporat terutama sekali sektor yang berurusan dengan hutang korporat yang tinggi dan kompetitif. Selain getah dan sawit yang banyak di semenanjung, Sabah dan Sarawak juga kaya dengan sumber asli seperti kayu balak, petroleum dan gas asli. Selepas Tragedi 13 Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan dan ia menunjangi pembangunan ekonomi Malaysia dan hubungan kaum sehingga 1990.Selepasnya kerajaan memperkenalkan Rancangan Wawasan. Perkembangan Ekonomi Malaysia dalam Kerangka Kehadiran Masyarakat Pelbagai Kaum Sejak Abad Ke-15 Sehingga Merdeka.

2.0 Ekonomi pada abad ke-15
Pada abad ke-15 dengan kemunculan Melaka sebagai pusat perdagangan bebas, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca dan pedagang-pedagang asing menerima hegemoni perdagangan Melayu Sifat berkongsi kekayaan ekonomi Melaka di kalangan semua pedagang yang mengunjungi Melaka dapat diperhatikan dari sikap Sultan dan pembesar Melayu. Mereka mengguna dan menggalakkan penyertaan pedagang asing seperti Gujarati, Chulia dan peminjam wang India (Chettiars). Dasar ini juga mengelakkan kelahiran Melayu kaya yang bakal menggugat kestabilan pemerintah. Hubungan ekonomi di Melaka mengikut peraturan ekonomi yang ditetapkan oleh raja-raja Melayu mengikut Hukum Kanun Melaka. Pedagang asing terpaksa menerima syarat-syarat dalam hukuman ini apabila mereka menjalankan perdagangan di Melaka. Portugis yang menguasai Melaka pada abad ke-16, telah melenyapkan budaya perdagangan bebas untuk seketika. Dasar monopoli dan pelbagai sekatan perdagangan dikenakan. Memaksa kapal-kapal singgah di Melaka untuk membayar cukai, diantaranya adalah 10% dikenakan untuk barangan dari negara China dan 8% untuk barangan dari Teluk Benggal. Pedagang juga dimestikan mendapatkan surat izin untuk berdagang di Melaka. Ramai Pedagang tidak berpuas hati dan kebanyakan mereka berpindah ke Aceh dan Pedir.
Keadaan bertambah buruk apabila Belanda menguasai Melaka pada 1641. Pelbagai dasar monopoli diperkenalkan. Pihak Belanda juga telah mengawal barangan utama yang diimport dan dieksport dari Melaka dengan tujuan untuk menetapkan harga jualan barangan berkenaan. Belanda menguasai monopoli ke atas barangan seperti lada hitam, rempah-ratus, kayu cendana, timah dan pelbagai jenis kain. Duti sebanyak 10% dikenakan ke atas barangan yang diimport dan 5% ke atas barangan eksport. Semua pedagang dipaksa singgah di Melaka untuk menjalankan urusniaga mereka. Para pedagang juga diwajinkan mengikat perjanjian ekslusif dengan pemerintah-pemerintah Melayu di Negeri-negeri Melayu untuk menjual hasil negeri mereka, khususnya bijih timah kepada Belanda pada harga yang ditetapkan dan menghadkan urusan perdagangan dengan pedagang-pedagang India. Senario ekonomi Tanah Melayu berubah dengan penguasaan Pulau Pinang oleh Francis Light pada 1786, Melaka pada 1795 dan Singapura pada 1819. Ketiga-tiga pelabuhan ini diisytiharkan sebagai pelabuhan bebas pada 1826 dan ia menarik pedagang asing, termasuk pedagang Cina dan India. Ketiga-tiga kelompok pedagang ini tinggal dalam penempatan yang berasingan dengan kegiatan ekonomi diidentifikasikan dengan kaum tiada interaksi ekonomi antara ketiga kaum utama ini (Melayu, Cina dan India). Keadaan ini berubah pada abad ke-19 apabila lebih ramai buruh asing, khususnya buruh Cina, India dan Jawa dibawa masuk untuk memajukan sektor perladangan (getah dan kopi) dan perlombongan. Pada abad ke-20 pula, British mula menyingkirkan penguasaan orang Cina dalam sektor perlombongan dan bidang komersil lain yang menguntungkan. Buruh India dan Cina dibawa masuk dalam bilangan yang besar untuk memajukan sektor perladangan getah dan bijih timah.Ia dengan sengaja membawa kepada ekonomi duaan iaitu dua keadaan ekonomi yang berjalan serentak dalam satu waktu. Kawasan pantai barat maju dengan tersedianya pelbagai kemudahan dan pantai timur pula menumpukan kepada tanaman sara diri Bentuk ekonomi ini membawa faedah kepada kebanyakan orang Cina yang menetap di bandar.



3.0 Kegiatan ekonomi Pada waktu dahulu
3.1 Kaum Melayu
Orang Melayu terpinggir di luar bandar dengan kegiatan ekonomi sara diri (tanam padi dan buah-buahan). Ia disengajakan oleh British dengan harapan orang Melayu akan menghasilkan tanaman untuk keperluan sendiri dan British juga tidak perlu mengimport beras dari luar. Pada abad ke-17, Melaka menarik ramai pedagang asing dan ia muncul sebagai pelabuhan kosmopolitan. Di sini wujud interaksi yang baik antara pedagang Melayu, Cina dan India. Perkara ini berlaku kerana kerajaan Melaka di bawah pemerintah yang bijak menjalankan dasar pentadbiran yang adil dan ia memberi peluang kepada semua bangsa untuk menikmati keuntungan perdagangan di Melaka. Kejayaan hidup bersama antara kesemua kaum ini dapat diperhatikan daripada kewujudan penempatan seperti Bukit Cina dan perkahwinan orang tempatan dengan pedagang asing yang melahirkan baba peranakan India dan Cina. Hubungan ekonomi antara ketiga kaum (Melayu, India dan Cina) terjejas dengan kehadiran kuasa Portugis dan Belanda yang mula mengawal pelabuhan-pelabuhan utama Melayu seperti Melaka dan Betawi. Kuasa asing ini juga mengawal perdagangan antara pulau dan jalan laut utama antara India dan China Usaha-usaha diambil untuk memaksa kerajaan-kerajaan Melayu tunduk kepada kuasa baru ini. Dasar monopoli yang diamalkan oleh kuasa Barat ini memaksa pedagang tempatan beralih ke pelabuhan-pelabuhan lain yang mengamalkan dasar perdagangan bebas. Keadaan ini juga memaksa pedagang Melayu berpindah ke kawasan pedalaman (hinterland) dan mereka terpaksa bekerja mengusahakan tanah.Keadaan ini membawa kepada kemunculan kelas petani atau komuniti Melayu luar bandar yang mengusahakan tanah. Kekosongan yang ditinggalkan oleh orang Melayu di bandar kini diambil alih oleh orang India dan kemudian pada zaman British oleh orang Cina, Arab dan Eropah.
3.2 Kaum Cina
Pada Abad Ke-18, hampir kesemua kapitan Cina menjalinkan hubungan yang baik dengan British. Dasar British ini sebenarnya menjarakkan lagi status ekonomi Cina. Pada abad Ke-19, penglibatan orang Cina dalam ekonomi Negeri-negeri Melayu membawa kepada kerjasama ekonomi antara kaum Melayu dan Cina. Ini dapat diperhatikan di negeri Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Kerjasama antara saudagar Cina dan Melayu di Selangor bermula pada tahun 1846 iaitu pada zaman pemerintahan Raja Jumaat (1840-1854). Saudagar Cina Melaka telah mendahulukan modal untuk memajukan lombong di Lukut. Sebagai balasan saudagar Cina Melaka mendapat sebahagian keuntungan yang diperolehi oleh Sultan dari lombong Lukut. Kerjasama Orang China dan Melayu Di Johor Kerjasama ini bermula apabila Temenggong Johor, Temenggong Ibrahim menggalakkan orang Cina membuka tanah untuk mengusahakan tanaman lada dan gambir.Di bawah sistem Kangcu yang diperkenalkan di Johor, seorang ketua Cina yang dipanggil Kangcu atau raja sungai ditempatkan untuk mengawal setiap batang sungai di tempat ladang-ladang terbuka Kangcu akan menerima surat kuasa dari Temenggong untuk membuka ladang, mengawasi tanaman dan memungut cukai. Kesan Dominasi Langsung Orang Cina Dalam Perlombongan Selepas pedagang Cina dibenarkan untuk terlibat secara langsung dalam perkembangan ekonomi Negeri-negeri Melayu, peranan elit pemerintah Melayu hanya dihadkan kepada pengutipan cukai eksport dan import dan urusan memperuntukkan konsesi kepada pelabur. Bermulanya pentadbiran British, peranan ini telah diambil alih oleh British dan orang Cina kini boleh melangkaui (bypass) pemerintah Melayu untuk berurusan dengan pentadbir British. Kaum Cina juga bekerja sebagai kontraktor pembuat jalan, landasan keretapi, sebagai peniaga runcit dan pekedai. Mereka juga menjadi orang tengah dalam perniagaan. Kaum Cina kekal sebagai komuniti yang berdikari dan mampu diri. Pada masa itu, rata-rata tidak menganggap Tanah Melayu sebagai negara mereka.
3.3 Kaum India
Abad ke-18 juga, adalah zaman kedatangan buruh India yang mula menetap di Negeri-negeri Selat. Ada yang datang sebagai pegawai polis, tentera dan pesalah yang dibawa dari India untuk bekerja sebagai buruh dalam Jabatan Kerja Raya. Ada juga pedagang India yang terlibat dalam perniagaan di Negeri-negeri Selat. Selepas pengenalan sistem Residen di Negeri-negeri Melayu pada 1874, ramai orang India yang direkrut dalam sektor keselamatan Negeri-negeri Melayu (NNM) seperti Malay States Guides, polis dan juga dalam pembinaan jalan dan landasan keretapi. Bilangan buruh India ketika ini amat kecil tetapi ia bertambah pada penghujung abad ke-19 dengan perkembangan pesat sektor perladangan getah. Pembangunan Ekonomi dan Hubungan Etnik Pada Abad Ke-20. Abad ke-20 adalah era yang menyaksikan perkembangan pesat ekonomi Tanah Melayu dan penglibatan bukan Melayu, khususnya kaum Cina dalam ekonomi milik British. Kaum India pula menyumbangkan tenaga yang besar dalam sektor perladangan dan sebilangan kecil dalam pentadbiran dan sebagai buruh kasar dalam sektor perladangan dan perlombongan. Kebanyakan orang Melayu pula adalah di luar Bandar dan mereka yang berpendidikan bekerja makan gaji dalam sektor pentadbiran kerajaan. Pada awal abad ke-20, kaum Cina menjadi pemilik utama lombong-lombong utama dan hanya pada 1930-an dengan peningkatan penggunaan teknologi, bangsa Eropah mula mengambil alih dominasi orang Cina dalam sektor ini Kedudukan ekonomi Cina telah cuba dipulihkan pada zaman Darurat (1948-1960) iaitu apabila berlaku ancaman komunis. kerajaan telah mendirikan kawasan penempatan baru yang dikenali sebagai “kampung-kampung baru (New Villages) di bawah rancangan Briggs. Hubungan Orang Melayu dengan India dari sudut ekonomi agak baik pada awal abad ke-20. Ini adalah berasaskan hubungan orang Melayu golongan peminjam wang India (Chettiar). Hubungan ini menjadi renggang pada 1930-an apabila orang India membuat tuntutan politik supaya mereka diberikan lebih banyak keistimewaan Kedudukan ekonomi buruh India amat teruk pada zaman pendudukan Jepun. Ramai yang telah dibawa ke sempadan negeri Thai untuk membina landasan keretapi maut.
3.4 Punca Kemunduran Kaum India
Antara punca kemunduran kaum India ialah penghijrahan di mana hampir 80 peratus kaum India yang tinggal di ladang-ladang berhijrah ke pinggir bandar. Ladang-ladang hak milik syarikat penjajah yang menjadi tempat perlindungan dan perkembangan budaya-agama mereka kini dijadikan tapak projek perumahan dan pembangunan industri besar dan ringan oleh kerajaan dan swasta. Pertukaran hak milik ladang telah mengubah corak hidup sebahagian besar kaum India dengan drastik. Golongan pekerja ladang yang sekian lama bergantung kepada majikan British kini menganggap kerajaan sebagai 'bapa angkat' untuk membimbing, membantu dan membela kesejahteraan hidup mereka. Perubahan drastik dalam landskap sosio-budaya ini mencetus pelbagai harapan dan cabaran kepada kaum India, terutamanya golongan muda. Golongan ini mengharapkan kerajaan dan Malaysia Indian Congress (MIC), membantu mereka dalam menghadapi cabaran baru terutamanya dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi, pekerjaan dalam sektor awam, kemudahan memperolehi pinjaman wang untuk menjalankan perniagaan kecil, peluang meningkatkan ilmu teknikal dan perumahan untuk menjamin kehidupan berkualiti.
Kaum India menganggap peluang-peluang yang disediakan kerajaan dalam bidang-bidang utama itu tidak mencukupi berbanding kehendak semasa kaum India. Dalam pada itu, kebanyakan kuil Hindu yang terdapat di negara ini dibina sewaktu zaman penjajah British. Membina sebuah kuil Hindu dan menyediakan tempat untuk mempelajari bahasa ibunda, bahasa Tamil, merupakan dasar asas penjajah British. Bagaimanapun, apabila British berundur dan ladang-ladang mereka menjadi hak milik syarikat swasta tempatan, tapak kuil-kuil Hindu itu dijadikan tapak pembangunan oleh para pengusaha dan pemaju. Justeru, kuil-kuil yang dibina puluhan tahun dahulu diarah berpindah lokasinya oleh pihak pemaju atau kerajaan.Arahan kepada pengurusan kuil untuk berpindah lokasi sering menghadapi tentangan daripada masyarakat Hindu, malah mencetus wasangka di kalangan mereka kononnya kerajaan cuba merobohkan kuil-kuil Hindu tanpa memikirkan sensitiviti agama.Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan prosedur tertentu untuk mengurus soal pemindahan sesuatu tempat ibadat. Namun, di peringkat pelaksanaan, memindah tempat ibadat sering berdepan dengan masalah antara pihak pengurusan kuil dengan pihak penguatkuasaan.Lantas, isu pemindahan kuil, biarpun ke tempat baru disediakan oleh pemaju dan kerajaan, sering menjadi medan pertelingkahan antara penguasa dan pengurusan kuil atau bahan retorik politik di kalangan parti-parti politik.Selain itu, tidak dapat dinafikan, terdapat juga kumpulan tertentu dalam masyarakat India yang membina kuil-kuil kecil di kawasan tanah lapang hak milik kerajaan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu. Kumpulan ini sentiasa mendakwa kononnya kerajaan tidak melayan sebarang permohonan untukmembina kuil Hindu. Apabila kerajaan bercadang memajukan tanah lapang tersebut, kerajaan menghadapi masalah untuk memindahkan kuil-kuil itu yang dibina tanpa kelulusan.

4.0 Zaman Darurat
Pada zaman Darurat, 1948-1960, tuntutan pekerja bertambah dan ramai buruh India telah menyertai kesatuan sekerja anjuran anjuran Parti Komunis India. Pada Mei 1947, buruh India telah menuntut supaya mereka diberikan upah yang sama dengan buruh Cina. Tuntutan-tuntutan lain adalah tempat kerja yang selesa, bekalan kemudahan asas dan perlantikan guru sekolah di estet. Berdasarkan kemajuan ekonomi yang di alami oleh ketiga-tiga kaum pada abad ke-20, amat jelas konsentrasi ketiga-tiga kaum ini juga berbeza. Kaum Cina juga mewakili separuh dari penduduk bandar semua negeri Semenanjung kecuali Kelantan, Trengganu dan Perlis.
Orang Melayu pula tertumpu di kawasan luar bandar yang berkait dengan pertanian sebagai contoh di kawasan pantai barat. Pada tahun 1947, hanya 14% orang Melayu menetap di bandar, sedangkan Cina mewakili 54% dan India 39%. Kaum India sebahagian besar tinggal di luar bandar dan mereka yang menetap di bandar tertumpu di negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Selepas Merdeka, Latar Belakang Perkembangan Ekonomi Malaysia dalam Kerangka Perlembagaan Merdeka 1957 dan senario selepas Merdeka Perlembagaan Merdeka menyaksikan dominasi politik Melayu diinstitusikan. Pada tahun 1955 dan 1956 UMNO, MCA dan MIC telah berkompromi dibawah satu persetujuan (social contract) yang dikenali sebagai “persetujuan bersejarah” (historic bargain). Melalui persetujuan ini, orang Melayu bersetuju kewarganegaraan akan diberikan kepada orang bukan Melayu yang berkelayakan dan sebagai balasan bukan Melayu bersetuju mengakui hak-hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan. Semua kompromi ini kemudiannya dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957. Walaupun semua kehendak dipersetujui sewaktu perlembagaan diterima tetapi selepasnya ia adalah satu senario yang berbeza. Isu-isu sensitif terus dibangkitkan oleh parti-parti pembangkang dalam pilihanraya 1963 dan 1969. Pada akhir tahun-tahun 1960-an, perasaan tidak puas hati dan kemuncaknya ialah Tragedi 13 Mei. Ia seterusnya membawa kepada pemansuhan Parlimen, penubuhan Majlis Gerakan Nasional (MAGERAN) dan pengenalan prinsip Rukunegara bagi mengukuhkan perpaduan negara. Pada awal 1970, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
5.0 Dasar Ekonomi Baru
Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang di pelopori pada tahun 1971 oleh mantan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Dasar ini juga mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991.
Perlaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu. Pengelasan kaum merujuk pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza mengelakkan interaksi antara penduduk di Tanah Melayu yang terdiri daripada tiga rumpun utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Melalui dasar ini orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar (kampung) dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969.
Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati bangsa Melayu masih tertinggal jauh dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar. Manakala orang Cina pula lebih terkehadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan mereka tinggal di kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan. Lantas timbul kesedaran di kalangan orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu.
Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu. Perkara tersebut telah membangkitkan kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap orang Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Turut memburukkan keadaan adalah kerana, kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala Orang Melayu kebanyakan menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948–1960.

5.1 Kepentingannya kepada kaum melayu
Dasar Ekonomi Baru menunjangi pembangunan negara dan ia berusaha untuk membasmi dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Pembangunan Ekonomi dan Hubungan Etnik Dalam Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) dan Kedua (1961-1965) Rancangan Malaya Pertama, bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan menumpukan kepada sektor luar bandar iaitu mempelbagaikan keluaran pertanian supaya negara tidak hanya bergantung kepada pengeluaran getah.Menambahkan peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan. Dasar pembangunan kerajaan Perikatan selepas merdeka adalah untuk membawa kemajuan ekonomi kepada semua rakyat Tanah Melayu Pada waktu ini tidak banyak wang yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan ekonomi.
Hampir separuh dari perbelanjaan dihalakan kepada pertahanan dan keselamatan dalam negeri (bagi membendung ancaman komunis). Status ekonomi Melayu untuk membantu orang Melayu di luar bandar. Kerajaan juga telah menubuhkan pelbagai agensi, RIDA (Rural Industrial Development Authority) berfungsi untuk memajukan masyarakat luar bandar melalui pembangunan sosial, ekonomi, dan infrastruktur. FELDA (Federal Land Development Authority) pada 1956 untuk membuka dan memajukan tanah baru secara besar-besaran bagi pertanian dan penempatan. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1959, satu Kementerian yang secara khusus menjaga hal-ehwal luar bandar ditubuhkan. FAMA (Federal Agricultural Marketing Authority) pada 1965. Pada tahun 1961 Jawatankuasa Pembangunan Kampung ditubuhkan bagi melibatkan orang Melayu secara langsung dalam proses perancangan dan pelaksanaan program pembangunan. Bank Bumiputera juga ditubuhkan pada tahun 1965 dengan modal sebanyak RM20 juta untuk berperanan sebagai institusi yang boleh membekalkan kredit serta khidmat nasihat kepada peniaga bumiputera. Amanah Saham MARA dilancarkan pada 1967 untuk menggembling tabung simpanan Melayu. Dewan Perniagaan Melayu Bersekutu ditubuhkan pada tahun 1967 sebagai urursetia bagi golongan kapitalis Melayu.
5.2 Kepentingan kepada kaum cina dan India
Status Ekonomi India Dasar kerajaan yang baru merdeka untuk mengambilalih ladang-ladang milik pengusaha asing mempunyai kesan yang serius ke atas buruh eset. Pengusaha Barat mula menjual ladang-ladang mereka dan meninggalkan negara. MIC telah cuba menyelamatkan nasib buruh-buruh India dengan membeli ladang-ladang kecil dengan menubuhkan National Land Finance-Co-operative Society Lmtd (NLFCS) pada 1960. MIC dan NLFCS telah mendesak kerajaan menggubal undang-undang untuk mengawal penjualan estet yang luasnya melebihi 100 ekar. Antara 1961-1969, NLFCS telah membeli 18 estet. Sejak Tragedi 13 Mei 1969 hingga 1990 Tun Razak menyedari bagi membangunkan ekonomi negara, kerajaan harus mengelakkan perbalahan kaum, Untuk itu parti Perikatan diperluaskan dan pada 1974 Barisan Nasional (BN) dibentuk dan ia menyaksikan penyertaan lebih banyak parti politik dan mengurangkan politiking. Tujuan utama rancangan ini adalah untuk memperteguhkan sokongan orang Cina. Ia adalah strategi politik yang digelar sebagai “ethnic corporatism”. Status Ekonomi Cina Kedudukan ekonomi Cina amat teguh selepas merdeka, disebabkan kemahiran orang Cina berdagang dan juga sumbangan persatuan-persatuan Cina untuk mengumpul modal. Konsep perniagaan ala kongsi telah membantu kaum Cina mengumpul modal dan mengukuhkan modal di kalangan komuniti mereka. Keadaan ini juga dibantu oleh lokasi orang Cina di bandar yang telah mendedahkan mereka dengan satu sistem pendidikan yang baik.
5.3 Kepentingan Dasar Ekonomi Baru Kepada Semua Kaum
Matlamat utama Dasar Ekonomi Baru dan kesemua Rancangan Malaysia sehingga 1990 ialah, untuk menyusun semula masyarakat dari segi fungsi ekonomi dan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum menerusi strategi membasmi kemiskinan, memodenkan kehidupan masyarakat luar bandar dan mempertingkatkan penyertaan kaum bumiputera dalam bidang perusahaan dan perniagaan. Objektif ini mengalami sedikit perubahan pada tahun-tahun 1980-an apabila dinyatakan satu lagi objektif adalah untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan negara. Kerajaan memperkenalkan DEB dan ia menyedarkan orang Cina betapa perlunya bekerjasama dengan orang Melayu untuk mendapat faedah ekonomi. Kaum Cina mula mengubah strategi perniagaan mereka daripada berniaga sebagai individu kepada kumpulan. Pada 1989 kerajaan telah menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara untuk melahirkan rasa kebimbangannya dengan nasib kaum India yang ketinggalan di bawah DEB dan ingin mengemukakan cadangan bagi merangkakan dasar ekonomi bagi tempoh 1991-2000. Majlis ini telah menyeru supaya kerajaan mengambil tindakan untuk memajukan nasib orang India dibawah Dasar Pembangunan Nasional yang akan menggantikan DEB. Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000) dan Wawasan Negara (2001-2010) DPN digubal berlandaskan wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020. Wawasan 2020 menekankan sembilan jenis cabaran yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia untuk muncul sebagai negara berteknologi tinggi menjelang abad ke-21. Dasar-dasar yang menggantikan DEB cuba mewujudkan landasan yang terbaik bagi memajukan kesemua kaum di Malaysia. Namun begitu, dari segi perlaksanaan DEB memang mempunyai kelemahan, kerajaan memainkan peranan yang sangat penting dan semua pihak bagi memastikan apa sahaja dasar yang diperkenalkan membawa faedah kepada semua lapisan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana komuniti di Malaysia ini.
5.4 Faedah Dasar Ekonomi Baru
Dibawah perancanagan dasar ekonomi baru (DEB), pihak kerajaan akan sentiasa memastikan pembangunan negara seimbang, sektor pertanian dan sektor perindustrian adalah saling melengkapi. Kedua-dua sektor ekonomi tersebut adalah sama penting dan tidak boleh diabaikan salah satu darinya. Kebelakangan ini, kerajaan telah mengisytiharkan usaha membangunkan semula sektor pertanian negara. Usaha ini adalah wajar dalam memastikan pembangunan dan kemajuan negara secara seimbang. Seperti yang kita tahu, masyarakat Melayu lebih mendominasi sektor pertanian dan masyarakat Cina pula lebih banyak menguasai bidang perindustrian. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian 13 Mei 1969 kembali berulang seperti masalah perbezaan jurang ekonomi yang ketara antara kaum. Tambahan pula, apabila kerajaan mengisytiharkan untuk membangunkan sektor pertanian, kemungkinan kaum Cina akan melihat bahawa kerajaan cuba untuk membangunkan ekonomi masyarakat melayu sahaja dan akan meminggirkan kaum Cina. Perkara sedemikian rupa telah menjadi cabaran kepada pihak kerajaan untuk menjelaskan isu ini.





6.0 Kesan-Kesan Dasar Kerajaan Terhadap Ekonomi Kaum Bumiputera
Taraf ekonomi Bumiputera telah dapat ditingkatkan, mereka tidak mencapai kejayaan sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan bangsa lain, Bumiputera masih jauh tertinggal di belakang. Pendapatan keluarga Bumiputera lebih rendah daripada pendapatan keluarga orang Cina. Jumlah profesional Melayu banyak bertambah, tetapi masih tertinggal berbanding bangsa lain. Malah, kadar pertumbuhan pelaksanaan ekonomi orang bukan Melayu lebih cepat daripada orang Melayu. Oleh itu, umpamanya apabila ekonomi negara tumbuh pada kadar 8 peratus pada awal 1990, orang bukan Melayu mendapat lebih banyak faedah kerana mereka lebih cekap dan mampu. Orang Melayu masih perlu dibantu dan perlu ada agenda tertentu untuk membangunkan mereka dengan lebih teratur dan tersusun.Segala kuasa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipakai dan dilaksanakan dengan saksama. Pada 2005, satu dasar baru diperkenalkan iaitu Misi Nasional, ianya telah dilancarkan bagi meningkatkan ekonomi dan mempertahankan pertumbuhan ekonomi. Isu pokok iaitu kemunduran dan ketinggalan ekonomi Bumiputera dalam negaranya sendiri, selain itu, isu membasmi kemiskinan, meningkatkan penyertaan dan penguasaan Bumiputera dalam bidang ekonomi moden perlu difikirkan. Secara keseluruhan, penyertaan masyarakat Bumiputera dalam bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian negara masih pada tahap rendah berbanding pembabitan masyarakat bukan Bumiputera. Keadaan pada tahun mendatang memerlukan tahap daya saing tinggi daripada sesiapa saja yang menjalankan kegiatan perdagangan dan perindustrian. Era globalisasi akan mengakibatkan negara menjadi lebih terbuka dan terpaksa bersaing di arena antarabangsa. Persediaan perlu dipertingkatkan.Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah masalah pembentukan masyarakat Bumiputera berbudaya niaga dan berbudaya usahawan. Masyarakat Bumiputera di bandar tidak memperoleh tradisi perdagangan atau perindustrian masyarakat bandar yang dibolot masyarakat bukan Bumiputera, menunjukkan pergantungan mereka kepada bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta. Orientasi sikap perlu ditekankan. Paling penting ialah usaha membawa golongan miskin keluar daripada kemiskinan. Pelbagai strategi dan program yang ada untuk menambah pendapatan boleh diteruskan. Hakikat bahawa kadar kemiskinan yang dijangka dalam tempoh DEB dapat dicapai menunjukkan strategi lampau masih sesuai.
Justeru, strategi yang ada kini diteruskan tetapi perlu menekankan 'kesampaian' dan keberkesanan program kepada kumpulan sasaran yang tepat dan dikenal pasti.Justeru, badan baru perlu ditubuhkan di bawah Akta Mara 1966 yang sudah lengkap dan tidak lagi perlu dibahaskan di mana-mana. Ini adalah untuk memastikan orang Melayu berupaya menceburkan diri dalam kegiatan perniagaan. Ini bermakna kerajaan perlu mempertingkatkan pentadbiran Mara secara radikal. Pembangunan tanah simpanan Melayu, tanah Baitulmal dan tanah kerajaan di bandar boleh diuruskan oleh mana-mana badan baru yang diwujudkan itu, dengan tujuan memperbaiki kedudukan orang Melayu di bandar. Inflasi dalam bidang hartanah di bandar dalam tempoh 20 tahun lalu memberi impak kepada ketidakmampuan orang Melayu untuk terus menetap di bandar, jauh sekali menceburkan diri dalam urusan perniagaan. Mereka perlu diberi bantuan sewajarnya oleh kerajaan kerana tanpa campur tangan sukar bagi tanah berkenaan dibangunkan untuk tujuan komersial dan kawasan perumahan.Kelemahan pemasaran hasil pertanian, perikanan dan ternakan boleh diatasi dengan memperkemaskan sistem pengurusan Fama dan melebarkan sayap operasinya.
Orang Melayu yang menetap di luar bandar bukannya malas hendak bercucuk tanam, tetapi mereka tidak memiliki rangkaian pemasaran yang cekap dan berkesan untuk memasarkan hasil tanaman, perikanan dan ternakan mereka. Kerajaan perlu mewujudkan banyak aktiviti yang berupaya merangsangkan penyertaan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi, termasuk projek mega yang sedang dijalankan. Banyak perkara, projek dan dasar sedang dan yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi dan diurus dengan teliti dengan memastikan orang Melayu terus diberi peluang bukan saja untuk meraih sedikit keuntungan tetapi juga diberi pendedahan untuk menimba pengalaman. Kerajaan perlu memfokuskan perhatian kepada peruntukan Perlembagaan Artikel 153 dan menetapkan kementerian tertentu bertanggungjawab mencari idea dan inisiatif bagi melaksanakannya dan memantau dengan lebih berkesan. Peruntukan undang-undang ini adalah satu-satunya usaha untuk memperbaiki keadaan ekonomi orang Melayu yang dipertahankan ketika mencapai kemerdekaan. Tindakan memperbaiki ekonomi Bumiputera secara tegas perlu dilaksanakan segera, jika tidak, kedudukan ekonomi Bumiputera akan terus menjunam dan berada di paras yang lebih teruk, apatah lagi pada era kini yang mencabar dan suasana persaingan akibat ekonomi globalisasi.
7.0 Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya Kerjasama ekonomi antara kaum di Malaysia mampu menjamin keadilan sosial kerana penduduknya berbilang bangsa dan bersatu padu. Sehubungan dengan itu kita sebagai wargenegara malaysia haruslah berganding bahu supaya negara kita mencapai kejayaan yang gemilang di masa akan datang.Malaysia telah mencapai kemajuan ekonomi yang memberangsangkan sejak zaman pemimpin terulung, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hinggalah ke zaman Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara masyarakat majmuk, ekonomi dapat dijanakan dengan mapannya. Kejayaan Malaysia dalam usaha membangunkan negara walaupun mengalami beberapa kali kemelesetan ekonomi menunjukkan kekukuhan ekonomi negara. Ini terbukti apabila Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai kekuatan ekonomi yang tersendiri. Tambahan pula strategi-strategi yang diamalkan oleh kerajaan telah menghasilkan kestabilan dan pembangunan ekonomi di Malaysia. Selain itu ekonomi Malaysia menjadi bertambah mantap dan kukuh kerana jalinan mesra dengan negara-negara maju. Oleh itu, jika prestasi ini terus diamalkan nescaya matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 pasti akan tercapai.

No comments:

Post a Comment